Courtyard by Marriott Setia Alam (30-31/1/25)
Dari Bukit Bintang, saya menuju ke Setia Alam untuk menginap di sebuah hotel dari rangkaian Marriott. Hotel ini baru beroperasi pada Disember 2022. Saya membuat tempahan melalui aplikasi Trip.com dan memilih bilik King dengan harga RM279. Harga ini sudah termasuk cukai, tetapi saya tidak mengambil sarapan pagi.
Saya tiba di hotel sekitar pukul 12.40 tengah hari dan terus ke lobi di tingkat bawah. Lobinya luas, namun agak ringkas, hanya terdapat beberapa sofa untuk tetamu. Selain kaunter, terdapat Starbucks dan sebuah kedai serbaneka layan diri 24 jam. Proses daftar masuk sangat cepat, dan saya terus menerima kad akses kerana bilik sudah sedia. Saya mendapat bilik Deluxe walaupun menempah bilik King, namun saya tidak pasti perbezaan antara kedua-duanya kerana di Trip.com, harga bilik Deluxe lebih mahal. Hotel ini tidak mengenakan deposit. Saya naik lif ke bilik di Tingkat 21, dan terdapat lima lif di hotel ini.
Bilik Deluxe, dengan keluasan 312 kaki persegi, agak luas. Sebaik masuk, terdapat almari di sebelah kanan pintu. Bilik air pula di sebelah kiri. Almarinya besar, dengan pintu gelongsor. Di dalamnya ada tempat gantung baju, peti simpanan keselamatan, seterika, dan papan seterika. Dua pasang jubah mandi turut disediakan. Di sebelah almari, ada kabinet kecil dengan peti sejuk mini dan kemudahan membuat minuman. Di sebelahnya pula, ada tempat untuk meletakkan beg dan barang-barang.
Di ruang katil, selain katil king, ada sofa besar di sebelah kiri, berhampiran tingkap. Di hujung sofa, ada meja kecil. Di penjuru kiri kaki katil, ada meja bulat sederhana besar dan sebuah kerusi, sesuai untuk bekerja. Di atas meja, ada lampu bacaan. TV dipasang di dinding bertentangan katil, mungkin 55 atau 60 inci.
Bilik airnya agak kecil, menempatkan singki, tandas, dan ruang pancuran. Hotel ini menggunakan tandas dengan paip kecil di dalamnya. Ruang pancuran agak luas dengan dua jenis pancuran. Dinding ruang pancuran yang menghadap katil menggunakan cermin lutsinar dengan bidai yang boleh dibuka atau ditutup dari dalam, dikawal dengan magnet. Peralatan mandian lengkap disediakan, termasuk berus gigi, tuala tangan, dan tuala muka.
Kolam renang hotel terletak di Tingkat 12, bersaiz sederhana. Landskapnya kurang menarik bagi saya, dan ia berada di ruang terbuka. Di tingkat yang sama, terdapat gimnasium dan sauna. Kolam renang dan sauna dibuka dari pukul 8 pagi hingga 7 malam, manakala gimnasium dibuka 24 jam. Terdapat juga kafe di tepi kolam renang yang dibuka sehingga pukul 12 tengah malam.
Wifi percuma di bilik agak laju, mencapai 62mbps untuk muat naik dan muat turun. Namun, terdapat masalah dengan talian telefon di kawasan ini. CelcomDigi hanya mempunyai kelajuan 12mbps, manakala Tune Talk hanya 5mbps. Untuk siaran TV, hotel ini hanya menyediakan siaran asas, dengan beberapa saluran berita dan sukan, kebanyakannya dalam HD. Tekanan air di bilik mandi kuat, dan saya menikmati mandi di pancuran. Hotel ini juga menawarkan perkhidmatan in-room dining, dengan harga yang berpatutan. Contohnya, nasi goreng berharga RM32, laksa kari RM32, dan jus buah-buahan RM18. Parkir percuma disediakan untuk tetamu yang membawa kenderaan.
Hotel ini terletak di Setia Alam, sekitar 40km dari Kuala Lumpur. Berdekatan hotel terdapat Setia City Convention Centre dan Setia City Mall. Terdapat jejantas yang menghubungkan hotel dan Setia City Mall di Tingkat 1. Hotel ini mungkin sibuk pada hujung minggu atau ketika ada acara di pusat konvensyen, tetapi ketika saya menginap, ia agak sunyi. Dengan harga di bawah RM300, ia sangat berbaloi kerana hotel ini bersih, selesa, dan kelihatan baru. Saya bercadang untuk kembali lagi dan menginap di suitenya pula.
Saya sertakan beberapa gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika anda ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel lain, sila lawati laman web saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau ke ruangan saya di group ini. Terima kasih kerana membaca! 😆
```