Hard Rock Hotel Penang: Pengalaman Menginap (25-26/5/25)
Dari Georgetown, perjalanan saya membawa saya ke Batu Ferringhi, di mana saya menginap di sebuah hotel bintang lima yang sudah cukup terkenal. Berdasarkan pencarian di internet, hotel ini mula beroperasi secara rasmi pada 1 September 2009. Saya membuat tempahan terus di laman web rasmi hotel dan memilih bilik jenis Poolview Deluxe. Harganya RM457.50. Harga ini sudah termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Setelah menambah cukai dan caj perkhidmatan, jumlah yang perlu dibayar menjadi RM539.85.
Tiba di hotel sekitar pukul 12.50 tengahari, saya terus mendaftar masuk (check-in). Lobi hotel terletak di kawasan terbuka, di tingkat bawah, berhampiran kolam renang. Proses daftar masuk berjalan lancar. Kakitangan meminta saya menunggu sebentar kerana bilik belum siap. Saya mengambil kesempatan ini untuk bergambar di sekitar hotel. Hanya sekitar 10 minit menunggu, saya mendapat bilik Seaview Deluxe secara percuma (free upgrade)! Hotel ini mempunyai enam tingkat dan tiga lif.
Bilik dan Kemudahan
Bangunan hotel ini memanjang, dengan kebanyakan bilik menghadap laut. Bilik yang saya tempah seluas 376 kaki persegi, yang terasa luas walaupun bilik airnya agak kecil. Sebaik memasuki bilik, terdapat almari pakaian berpintu gelongsor di sebelah kanan. Di sebelah kiri pula, bilik air. Di dalam almari, terdapat tempat gantung baju, seterika, dan papan seterika. Ada juga peti simpanan keselamatan dan dua jubah mandi. Terdapat peti sejuk mini dan juga kemudahan untuk membancuh minuman.
Selain katil king, ada sofa bujang di sebelah kiri katil. Meja kerja dan kerusi terletak di sudut kiri katil, saiznya agak kecil dengan lampu bacaan. Di dinding, berhadapan katil, terdapat kabinet panjang. TV 55 inci digantung di atas kabinet ini. Bilik ini mempunyai balkoni luas yang menghadap kolam renang dan laut. Di sana terdapat dua kerusi dan meja bulat kecil untuk bersantai.
Bilik air kecil, dilengkapi singki, tandas, dan ruang pancuran. Dinding ke katil adalah dinding gelongsor yang boleh dibuka dan ditutup. Terdapat bidet di sebelah tandas. Ruang pancuran ditutupi cermin lutsinar sepenuhnya. Hotel menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Kolam Renang dan Kemudahan Lain
Kolam renang menjadi daya tarikan utama Hard Rock Hotel ini. Terdapat beberapa kolam besar. Waktu operasi kolam renang dari pukul 7 pagi hingga 9 malam. Terdapat gimnasium di tengah kolam renang, dibuka pada waktu yang sama. Hotel ini juga menawarkan spa di tepi kolam renang, dibuka dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Sarapan pagi bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 11.00 pagi. Restoran terletak di lobi hotel. Pilihan menu tidak begitu banyak. Hidangan yang saya makan tidak begitu memuaskan selera. Restoran juga menawarkan servis in-room dining dengan harga yang agak mahal. Contohnya, nasi goreng berharga RM50 dan jus minuman RM20. Hotel ini menyediakan wifi percuma, tetapi saya tidak menguji kelajuannya. Dari segi kelajuan internet, CelcomDigi mencapai 465mbps, manakala Tune Talk, 385mbps. Hotel menyediakan beberapa saluran TV asas dalam format HD. Terdapat juga beberapa filem percuma. Tekanan air di bilik mandi kuat, tetapi sukar mengawal suhu air.
Kesimpulan
Hotel ini terkenal, namun bagi saya, keistimewaannya terletak pada kolam renangnya. Ia kelihatan agak usang. Semasa berjalan di koridor, saya terhidu bau yang kurang menyenangkan. Bilik luas, tetapi pencahayaan tidak seimbang dengan beberapa sudut gelap. Sarapan biasa sahaja dengan pilihan menu yang terhad.
Hotel ini sesuai untuk keluarga yang ingin membawa anak-anak bermain di kolam renang yang luas. Terdapat pantai walaupun kurang menarik. Di sebelah hotel, terdapat Ferringhi Heat dengan beberapa kafe. Jika tidak mahu makan di hotel, ada gerai di seberang jalan. Kakitangan memaklumkan bahawa hotel ini akan memulakan proses ubah suai (refurbish) pada tahun hadapan.
Saya sertakan beberapa gambar yang saya ambil semasa menginap di sana. Jika anda ingin membaca ulasan hotel lain, sila layari laman web saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds atau di grup ini. Terima kasih kerana membaca.
```