Riveria City Kuala Lumpur Sentral (9-10/8/25)
Mari saya kongsikan pengalaman menginap di Riveria City Kuala Lumpur Sentral. Penginapan ini baru sahaja dibuka dan terletak di Bangsar, tepatnya di Jalan Tun Sambanthan. Saya menempah melalui aplikasi Trip.com, memilih bilik jenis studio dengan harga RM165.37. Harga ini sudah termasuk cukai, tetapi tidak termasuk sarapan pagi. Residen ini diuruskan oleh beberapa host, dan saya memilih Archos kerana tawaran harga yang lebih menarik.
Saya tiba pada pukul 3.40 petang, terus ke kaunter Archos di lobi. Lobinya agak kecil, dan ketika itu ramai tetamu sedang beratur untuk daftar masuk. Proses daftar masuk berjalan lancar. Deposit RM200 dikenakan, dan saya menerima dua kad akses: satu untuk bangunan dan fasiliti, satu lagi untuk bilik.
Residen ini mempunyai 53 tingkat, tetapi hanya empat buah lif. Memang agak lama menunggu lif kerana ramai pengunjung, tetapi pergerakannya agak pantas. Bilik saya terletak di Tingkat 43. Dengan keluasan 297 kaki persegi, biliknya agak ringkas. Sebaik sahaja masuk, terdapat ruang dapur di sebelah kanan. Di sini ada singki dan dapur elektrik, dengan peralatan dapur lengkap dalam laci. Sebuah peti sejuk besar diletakkan di sebelah ruang dapur. Terdapat juga tempat untuk meletakkan barang dan menggantung baju, lengkap dengan seterika dan papan seterika.
Bilik ini dilengkapi katil queen yang agak kecil. Terdapat meja kerja dan kerusi untuk mereka yang perlu bekerja. Sebuah lampu tidur diletakkan di atas meja. Di sepanjang dinding bertentangan katil, ada meja panjang dengan kerusi tambahan. Di tengah meja terdapat Smart TV 40 inci. Di sebelah kiri katil ada ruang untuk bersantai. Pemandangan dari bilik ini sangat memukau kerana menghadap ke Bandaraya Kuala Lumpur.
Bilik air terletak di sebelah kiri pintu masuk. Di sini ada singki, tandas di sebelah kiri, dan ruang pancuran (shower) di sebelah kanan. Terdapat pancuran jenis paip dan dua jenis pancuran dalam ruang pancuran. Air panas disediakan, tetapi hanya jika menggunakan pancuran jenis pegang. Ruang tandas dan pancuran agak sempit.
Host menyediakan wifi percuma yang sangat laju, dengan kelajuan muat turun mencapai 309mbps dan muat naik 350mbps. Kelajuan Telco agak perlahan kerana bilik berada di Tingkat 43. CelcomDigi mencatatkan kelajuan 46mbps, manakala Tune Talk hanya 27mbps. Smart TV disediakan, tetapi tanpa siaran percuma. Saya berpuas hati dengan tekanan air di bilik mandi.
Salah satu sebab saya memilih residen ini ialah kolam renang di atas bangunan (rooftop) dengan pemandangan yang indah. Kolam renang ini terletak di Tingkat 53A. Saiznya besar, dan ada kolam renang kecil di sebelahnya. Kolam dibuka dari pukul 7 pagi hingga 10 malam. Terdapat juga gimnasium di Tingkat 53, serta tempat istirahat dan bilik kerja di Tingkat 30. Proses daftar keluar mudah, hanya memulangkan kad akses dan mengambil semula deposit.
Residen ini boleh menjadi pilihan jika anda mencari penginapan di Kuala Lumpur, asalkan anda tidak kisah dengan lif yang mungkin mengambil masa. Harganya berpatutan, dan lokasinya strategik di tengah Bangsar, hanya beberapa meter dari Stesen Monorel Tun Sambanthan. KL Sentral juga mudah dicapai dengan berjalan kaki atau menaiki monorel. Bagi yang sukakan pemandangan bandar, residen ini memang pilihan yang baik.
Untuk bilik yang saya inap, ia bersih, tetapi hanya menyediakan peralatan asas. Tuala mandi disediakan, tetapi berus gigi tidak ada. Lantai agak basah selepas mandi kerana tiada alas kaki. Terdapat soket terhad, tetapi host menyediakan extension. Secara keseluruhan, ia berbaloi dengan harga yang saya bayar. Mungkin saya akan kembali lagi, cuma saya akan memilih hari biasa dan bukannya hujung minggu. Semasa saya di sana, cuaca agak berjerebu dengan bacaan IPU 80.
Saya sertakan beberapa gambar yang telah saya ambil. Jika anda ingin membaca ulasan saya tentang hotel lain, sila lawati ruangan saya. Untuk maklumat lanjut tentang penginapan saya, sila ikuti FB saya. Terima kasih kerana sudi membaca 😎
Nota: Waktu daftar masuk dengan host ini ialah pada pukul 3 petang, dan daftar keluar pada pukul 11 pagi. Caj RM50 setiap jam dikenakan untuk daftar masuk sebelum 3 petang (jika tiada tetamu sebelumnya). Untuk daftar keluar, caj RM50 dikenakan untuk setiap jam lewat (selepas pukul 11 pagi).
```