Sama Sama Hotel KLIA: Ulasan Peribadi (21-22/6/25)
Dahulu dikenali sebagai Pan Pacific KLIA, Sama Sama Hotel terletak bersebelahan dengan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pengalaman saya di sini berulang kali, dengan kunjungan terakhir pada Jun 2024. Sejak kali pertama pada April 2023, hotel ini telah menjadi salah satu pilihan utama saya.
Hotel ini memikat hati saya dengan keindahan reka bentuknya dan suasana yang tenang. Selain itu, makanannya juga sangat memuaskan selera.
Setiap kali menginap, saya memilih bilik deluxe, pilihan yang lebih kecil dan menjimatkan. Harga bilik deluxe biasanya antara RM500 hingga RM600 semalam. Namun, dengan harga kakitangan MAG, saya seringkali mendapatkannya pada harga RM280 (sebelum cukai 8%), tanpa sarapan pagi. Sarapan pagi pula berharga RM70 seorang (sebelum cukai).
Tiba sekitar jam 12.30 tengahari, saya terus ke kaunter di lobi yang luas dan menarik. Proses daftar masuk cepat, dan bilik saya sudah sedia, jadi saya menerima kad akses dengan segera. Hotel ini mempunyai lima lif yang pantas, memudahkan pergerakan.
Bilik Deluxe seluas 387 kaki persegi, menampilkan reka bentuk yang teratur. Di sebelah kiri pintu masuk terdapat almari besar dengan ruang gantung baju, peti simpanan keselamatan, dan mesin penimbang berat badan. Dua jubah mandi disediakan. Seterika dan papan seterika terletak berdekatan, sedikit tersembunyi. Di sebelah kanan almari, terdapat peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh minuman.
Di ruang katil, selain katil king, ada kerusi bujang dan meja bulat kecil. Meja kerja di sudut kaki katil cukup besar dengan kerusi yang selesa. TV 45 inci dipasang di dinding. Kali ini, bilik saya menghadap Menara Kawalan Trafik Udara, memberikan pemandangan pesawat berlepas dari Terminal 1 dan 2.
Pintu bilik air di sebelah kiri kaki katil. Bilik air luas dengan singki, tandas, ruang pancuran, dan bathtub. Peralatan mandian lengkap disediakan, memenuhi standard hotel 5 Bintang.
Kolam renang terbuka di Tingkat 1, dengan saiz yang besar dan landskap yang cantik. Terdapat juga gimnasium, sauna, bilik stim, dan jakuzi. Kolam renang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam. Kafe di tepi kolam menyediakan makanan dan minuman.
Dari segi kelajuan wifi, kali ini tidak selaju seperti tahun lepas. Kali ini sekitar 10mbps, berbanding 246mbps sebelum ini. Telco CelcomDigi mencatatkan 249mbps, manakala Tune Talk 194mbps. TV menyediakan banyak saluran tetapi tidak dalam format HD. Tekanan air di bilik mandi kuat. Untuk makan tengahari, saya memesan nasi lemak (RM45), char koay teow (RM45), dan cendol ais krim durian (RM28). Cendol adalah antara menu kegemaran saya.
Sama seperti ulasan sebelum ini, hotel ini tetap menjadi pilihan utama saya kerana biliknya yang luas dan suasana yang sempurna untuk bersantai. Jika harga bukan masalah, hotel ini sesuai untuk percutian keluarga. Fasiliti bertaraf 5 bintang disediakan, dan hotel ini tidak terlalu sesak. Kebanyakan tetamu lebih suka berehat di bilik, menjadikan hotel ini transit sebelum penerbangan. Tilam dan bantal di sini sangat selesa. Tempat letak kereta juga disediakan dengan bayaran RM10. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini berdekatan dengan KLIA Terminal 1, dan boleh menggunakan ERL dan buggy hotel.
Berikut adalah beberapa gambar yang saya ambil semasa penginapan kali ini. Untuk ulasan hotel lain, anda boleh melawat laman web peribadi saya atau di group yang disebutkan. Terima kasih kerana membaca.
```