Shangri-La Kuala Lumpur (2-3/10/25)
Perjalanan bermula dari Damansara menuju Jalan Sultan Ismail, destinasi sebuah hotel yang telah berdiri megah lebih dari empat dekad. Hotel ini, yang secara rasminya dibuka pada April 1985, adalah milik Tan Sri Robert Kuok, terletak strategik di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan P Ramlee. Saya pernah berkunjung ke sini empat tahun lalu, sewaktu negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tempahan bilik dibuat melalui aplikasi Trip.com, pilihan saya jatuh pada bilik jenis Deluxe dengan harga RM434.02, termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Tiba di hotel pada pukul 12.45 tengahari, saya terus ke kaunter di lobi. Lobi hotel ini luas dan memukau. Daftar masuk berjalan lancar. Memandangkan bilik Deluxe belum bersedia, saya memilih untuk menginap di suite dengan tambahan RM480++. Keistimewaan termasuk sarapan percuma, akses ke lounge hotel untuk menikmati afternoon tea dan evening cocktails.
Menginap di Suite
Dengan kad akses di tangan, saya menaiki lif menuju bilik di Tingkat 24. Lif di sini pantas, dengan lapan buah lif disediakan. Suite ini menawarkan keluasan 861 kaki persegi. Sebaik melangkah masuk, kabinet di sebelah kiri menyembunyikan peti sejuk mini dan kemudahan membuat minuman, sementara tandas dengan singki di sebelah kanan. Tiada gelung paip di sini.
Di ruang utama, dua sofa dan meja kopi mengundang. Di sudut kanan, meja kerja kaca yang anggun dengan kerusi, lengkap dengan lampu bacaan, telefon, dan pencetak. Di seberang, meja TV dengan TV 60 inci.
Pintu ke bilik tidur terletak bersebelahan meja TV. Bilik tidur luas dengan katil super king, almari pakaian besar di sebelah kanan yang menempatkan peti simpanan keselamatan, seterika, dan jubah mandi. Di hadapan katil, meja TV lain dengan TV 60 inci dan rak untuk meletakkan barang.
Bilik mandi di sebelah kiri pintu bilik tidur, dengan pintu gelongsor besar. Bilik mandi ini luas, segar, dan moden. Singki dan cermin muka di kiri, tandas dan tab mandi (tanpa gelung paip) di kanan. Tab mandi berbentuk bujur yang elegan, sementara ruang pancuran dengan satu jenis pancuran kelihatan agak sempit. Peralatan mandian disediakan lengkap.
Kemudahan dan Perkhidmatan
Hotel ini menawarkan kolam renang terbuka di Tingkat 2, kolam renang kanak-kanak, dan gimnasium, bilik stim, sauna, serta jakuzi. Waktu operasi kolam renang adalah dari 7 pagi hingga 9 malam, sementara gimnasium dan kemudahan lain dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam. Perkhidmatan in-room dining tersedia 24 jam.
Wi-Fi percuma menawarkan kelajuan 179mbps (muat turun) dan 207mbps (muat naik). Kelajuan telco seperti Tune Talk mencecah 204mbps dan CelcomDigi 186mbps. Banyak siaran TV percuma dalam HD disediakan. Tekanan air di bilik mandi kuat, memberikan pengalaman mandi yang memuaskan.
Sarapan pagi di Restoran Lemon Garden di lobi hotel. Pilihan makanan sangat pelbagai. Bagi tetamu suite, sarapan juga boleh dinikmati di lounge hotel. Sila lihat gambar yang saya ambil untuk hidangan sarapan, afternoon tea, dan evening cocktails.
Kesimpulan
Hotel ini, walaupun telah berusia lebih 40 tahun, dijaga dengan cemerlang. Kebersihan dan kemewahan tetap terpelihara. Kakitangan ramah dan membantu. Hotel ini masih menjadi pilihan ramai, walaupun bukan pada hujung minggu. Lokasi yang strategik, hanya 750 meter ke KLCC dan 1 km ke Pavilion Bukit Bintang. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, ia terletak 450 meter dari Stesen Monorel Bukit Nenas. Walaupun harga sekitar RM500 hingga RM600, ia berbaloi dengan fasiliti dan servis yang ditawarkan.
Saya sertakan gambar-gambar hotel ini. Jika anda ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel lain, sila ke group saya. Untuk mengikuti staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana membaca 😉
