รีวิว Wyndham Grand Bangsar: พักสบาย ใกล้เมือง แต่เก่าไปหน่อย

รีวิว Wyndham Grand Bangsar: พักสบาย ใกล้เมือง แต่เก่าไปหน่อย



```html

Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur (14-15/9/25)

Perjalanan saya bermula dari Shah Alam menuju ke Bangsar, dengan tujuan untuk menginap di sebuah hotel di bawah rangkaian Wyndham. Hotel ini terletak strategik di tepi Lebuhraya Persekutuan. Sebenarnya, saya pernah berkunjung ke hotel ini pada Mei 2021, ketika itu dikenali sebagai Pullman Bangsar. Perubahan pengurusan berlaku pada November 2023, di mana ia diambil alih oleh Wyndham.

Melalui aplikasi Trip.com, saya memilih bilik jenis Deluxe King dengan harga RM252.61. Harga ini termasuk sarapan untuk dua orang dan sudah termasuk cukai.

Saya tiba di hotel pada pukul 12.25 tengahari. Lobi hotel yang luas menyambut kedatangan saya. Saya perhatikan tiada perubahan ketara walaupun telah bertukar pengurusan. Walaupun bilik belum bersedia, saya terus mendaftar masuk. Proses daftar masuk berjalan lancar. Memandangkan bilik belum boleh diduduki, saya mengambil keputusan untuk ke Mid Valley Megamall dengan menaiki Grab.

Kembali ke hotel pada pukul 3.00 petang, saya mendapatkan kad akses dan menaiki lif ke bilik di Tingkat 22. Terdapat enam buah lif di hotel ini dan masa menunggu tidaklah lama. Bilik Deluxe yang saya tempah mempunyai keluasan 376 kaki persegi, terasa luas dan selesa.

Sebaik memasuki bilik, terdapat almari pakaian dengan pintu gelongsor di sebelah kiri. Di dalamnya, terdapat seterika, papan seterika, dan peti simpanan keselamatan. Di sebelah almari, terdapat kabinet dengan peti sejuk mini dan perkakas untuk membancuh minuman.

Di ruang katil, selain katil king, terdapat sofa kecil di sebelah kanan. Meja kerja cermin yang cantik beserta kerusi ditempatkan di sudut kanan katil, sesuai untuk mereka yang perlu bekerja. Di atas meja kerja, terdapat lampu tidur dan telefon. Di hadapan katil, terdapat meja panjang dengan TV 40 inci. Pemandangan dari bilik ini mengadap terus ke Lebuhraya Persekutuan.

Bilik air agak luas, terletak di sebelah kanan pintu masuk. Selain singki, terdapat tandas dan ruang pancuran (shower). Hotel ini menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Ruang pancuran dilengkapi dengan dua jenis pancuran dan ditutupi cermin lutsinar. Walaupun bilik jenis Deluxe, bilik ini mempunyai tab mandi (bathtub) yang besar. Dinding bilik air yang menghadap ruang katil adalah cermin lutsinar, yang boleh ditutup dengan bidai.

Kolam renang terletak di Tingkat 4. Saiz kolam renang agak kecil, dengan kolam renang untuk kanak-kanak. Kawasan kolam renang agak kosong tanpa lanskap yang menarik. Waktu operasi kolam renang bermula pada pukul 7 pagi hingga 10 malam. Walau bagaimanapun, pada waktu malam kawasan kolam renang agak gelap. Terdapat juga gimnasium di aras yang sama, tetapi saya tidak pasti waktu operasinya.

Hotel ini menyediakan wifi percuma yang pantas, dengan kelajuan mencecah 95mbps. Untuk talian telco, kelajuan CelcomDigi ialah 481mbps, manakala Tune Talk ialah 265mbps. Siaran TV percuma disediakan, namun kualitinya agak teruk. Kerap kali siaran tidak jelas dan kadang-kadang tidak dapat ditonton. Tekanan air di bilik mandi kuat, tetapi ruang pancuran kadang-kadang dipenuhi air kerana salur air lambat mengalir.

Sarapan pagi disajikan di restoran yang terletak di lobi hotel. Kawasannya luas dan menawarkan pelbagai pilihan menu. Saya mencuba beberapa menu dan berpuas hati dengan rasanya. Pujian harus diberikan kepada kakitangan yang efisien, walaupun restoran agak sesak. Hotel ini juga menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 12.30 pagi, tetapi harga makanan agak mahal. Sebagai contoh, Nasi Goreng Kampung berharga RM53 dan jus buah-buahan RM25. Hotel ini menyediakan parkir percuma untuk pengunjung.

Saya kembali ke hotel ini dengan harapan untuk melihat perubahan dan perbezaan antara Pullman dan Wyndham. Namun, saya agak kecewa kerana tiada perubahan ketara yang saya perhatikan. Lobi masih sama, begitu juga dengan bilik, sama seperti empat tahun yang lalu. Hotel dan biliknya kelihatan agak lama. Jika anda tidak kisah dengan keadaan hotel yang sedia ada, hotel ini masih berbaloi, terutamanya dengan harga bilik tanpa sarapan sekitar RM200. Dengan harga tersebut, anda akan mendapat bilik yang luas dengan tab mandi. Dari segi lokasi, hotel ini terletak 2.6 km dari Mid Valley Megamall. Bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak 1 km dari Stesen LRT Universiti.

Secara peribadi, saya tidak kisah dengan hotel yang sudah lama, asalkan ia diselenggara dengan baik. Saya telah menginap di banyak hotel yang dijaga dengan baik walaupun telah beroperasi puluhan tahun. Penyelenggaraan hotel ini tidak memuaskan, terutamanya dengan masalah bilik air tersumbat dan kawasan kolam renang yang bertakung air ketika hujan. Penghawa dingin di bilik sejuk tetapi bunyinya agak bising. Mungkin sudah tiba masanya untuk hotel ini melakukan pengubahsuaian (refurbish) secara besar-besaran untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Seperti biasa, saya sertakan gambar-gambar yang saya ambil. Jika anda ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel lain, sila lawati ruangan saya di group ini. Untuk mengikuti staycation saya dengan lebih lanjut, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana membaca 😊

```

แสดงความคิดเห็น

ใหม่กว่า เก่ากว่า