Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Highlands
Kali ini, saya berkunjung ke Genting Highlands dari Shangri-La, memilih untuk menginap di salah satu hotel di bawah rangkaian Wyndham. Ini bukan pengalaman pertama saya di hotel ini, malah sudah kali ketiga saya kembali, memanfaatkan baki baucar yang belum digunakan. Tempahan bilik saya buat melalui laman web My Tourism, kerana ingin menggunakan baucar tersebut. Harga satu malam untuk bilik jenis studio ialah RM323. Selepas ditolak nilai baucar RM200, saya hanya perlu membayar RM123 sahaja. Harga ini hanya untuk bilik tanpa sarapan.
Saya tiba di hotel pada pukul 4.00 petang dan terus mendaftar masuk (check-in). Prosesnya pantas, dan perlu membayar cukai RM3 (untuk satu malam) yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Permintaan saya adalah bilik di tingkat tinggi dengan pemandangan gunung. Akhirnya, saya mendapat bilik di Tingkat 44. Kad akses bilik sudah di tangan, saya segera menaiki lif. Hotel ini menyediakan 7 buah lif, jadi waktu menunggu tidaklah terlalu lama.
Bilik studio ini mempunyai keluasan 376 kaki persegi, sama seperti bilik yang pernah saya tempati pada bulan Mei lalu. Sebaik masuk, bilik air berada di sebelah kanan pintu. Di sebelah kiri, terdapat rak terbuka untuk menggantung pakaian dan peti keselamatan. Dua pasang jubah mandi disediakan. Di dinding sebelah kiri katil, terdapat kabinet dengan singki dan peti sejuk mini, di atasnya pula peralatan membancuh minuman. Di antara kabinet dan katil, ada sofa bujang dan meja bulat kecil. Meja kerja ditempatkan di sepanjang dinding bertentangan katil, dengan TV 55 inci tergantung di atasnya.
Bilik airnya ringkas, dilengkapi singki, tandas, dan ruang pancuran. Ruang pancuran mempunyai dua jenis pancuran yang ditutupi cermin lutsinar. Terdapat gelung paip (bidet) di sebelah tandas. Peralatan mandian lengkap disediakan oleh hotel.
Fasiliti Hotel
Kolam renang terletak di Tingkat 13. Terdapat dua kolam utama, satu di dalam dan satu lagi di luar bangunan. Beberapa kolam renang untuk kanak-kanak juga disediakan. Waktu operasi kolam renang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 9 malam. Di tingkat yang sama, terdapat gimnasium, sauna, dan bilik stim. Hotel ini juga mempunyai spa. Saya sempat menikmati nasi goreng yang lazat di restoran hotel di Tingkat 12.
Wifi di hotel kurang stabil dengan kelajuan sekitar 33mbps. Rangkaian telco juga bermasalah di dalam bilik, hanya boleh diakses dari balkoni. Untuk CelcomDigi, kelajuan mencapai 113mbps, tetapi Tune Talk tidak dapat diakses. TV menyediakan siaran asas sahaja, termasuk Vision Four, semuanya dalam format HD. Tekanan air di bilik mandi juga kuat. Hotel menyediakan banyak tempat parkir, dan ianya percuma untuk tetamu.
Untuk daftar keluar (check-out), hanya perlu memulangkan kad akses bilik. Namun, waktu menunggu lif agak lama kerana ramai yang mendaftar keluar pada masa yang sama.
Pengalaman Peribadi
Secara peribadi, saya memang gemar menginap di sini. Selain cuaca yang sejuk, pemandangan dari hotel juga sangat cantik. Bagi penggemar Hard Rock Café, ia beroperasi di Tingkat 50 hotel. Terdapat juga kedai HRC yang kecil di lobi. Keistimewaan Hard Rock Café di sini adalah kolam renangnya yang terletak bersebelahan dengan café, juga di Tingkat 50. Pengunjung perlu membayar RM120 untuk akses ke kolam renang ini, termasuk tuala HRC dan makanan ringan percuma.
Hotel ini terletak 5km dari SkyAvenue di puncak Genting Highlands. Hotel menyediakan pengangkutan ke SkyAvenue setiap jam, dengan bayaran RM7 sehala. Hotel ini agak jauh dari Genting Highlands Premium Outlet (GHPO), sekitar 10km. Untuk ke GHPO, pengunjung boleh ke SkyAvenue dan menaiki kereta kabel jika tidak ingin memandu.
Seperti biasa, saya sertakan gambar-gambar yang saya ambil semasa menginap kali ini. Jika anda ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel lain, sila lihat di ruang saya dalam group ini. Untuk maklumat staycation yang lebih cepat dan terperinci, ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana membaca.
```